July 12, 2010

Puaka Rumah Mak Semah

Bersepah-sepah Udin Tepok berlari ke rumah rakan sepermainannya. Ayam-ayam katik Haji Derus habis bertempiaran lari ke reban tatkala melihat Udin Tepok kelam-kabut memecut laju tanpa memberi amaran. Itik serati Haji Derus hanya menggeleng-gelengkan kepala.


'Kamu kenapa ni Udin? Lari macam kene kejo dek anjing Tauke Ong je. Kamu kenapa? Tell me right away.'

Terjah Haji Derus kepada Udin Tepok sambil membetul-betulkan kain pelikatnya yang hampir terlucut.

Udin Tepok tercungap-cungap menarik Oksigen yang berhampiran sambil peluh-peluh jantan tak henti-henti menitik ke bumi.

'Adehal penting ni Aji...Mokhtar ade kat rumah tak Aji?' kata Udin seraya mengelap peluh di dahi dungganya itu.

'Ada tu ha kat belakang rumah. Tengah bagi ayam makan gamaknya. Kamu pergilah kat belakang tu ha. Penting sangat ke hal kamu tu Udin? Tah-tah nak sembang projek ngendap anak Mak Temah kot.' kata Haji Derus sepedas cili boh tepat ke sanubari Udin Tepok.

'Ini arahan Penghulu la Aji' kata Udin sambil memberi jelingan maut pada Haji Derus sambil berlalu pergi ke belakang rumah.

'Ooo lupa lak aku yang kamu tu pencacai Tok Penghulu' bidas Haji Derus dalam nada tak puashati.

Itik serati Haji Derus menggeleng lagi.


'Woi Mokhtar...mana kau?' jerit Udin Tepok.

'Sini..sini..' sahut Mokhtar anak bongsu Haji Derus, kawan rapat Udin Tepok.

Udin Tepok mencari-cari arah mana datangnya suara Mokhtar tersebut. Matanya teros beralih tepat kearah pintu dapur rumah. Terlihat satu jasad tanpa baju tengah mengentel-gentel sesuatu.

'Woi Mohtar. Ape kejadahnya yang kau buat tu ha? Celaka kau.' dari jauh lagi si Udin Tepok melemparkan kata-kata curiga pada Mokhtar.

'Ape ke bodohnye kau ni? Aku tengah gentel tepung. Ape ke demam tah mak aku ngidam kuih siput lak. Aku sebagai anak yang soleh kena tunaikan la.' jawap Mokhtar sambil mengentel kuih siput hampir separuh penuh mangkuk itu.

'Ape ke malangnye nasib kau Tar. Orang buat kuih siput time raya. Mentang-mentang la Depavali nak dekat. Kau ni pon tak menyempat. Hahahaha' sindir Udin Tepok sambil ketawa terbarai-barai.

Udin menyinggahkan punggungnya ke bangku sambil mengeluarkan sebatang rokok Pall Mall Mentol yang baru dibelinya tadi di kedai Tauke Ong. Dicucuhkannya api ke rokok tersebut. Berkepul-kepul asap keluar dari mulut Udin. Muka Udin melayan rokok ibarat sudah 6 tahun tak merokok.

Mokhtar masih lagi menumpukan matanya ke arah tepung yang digentelkannya itu.

'Ada apa kau cari aku ha setan?' kata kesat dilemparkan ke Udin yang sudah lali dengan panggilan tersebut.

'Ada berita aku nak sampaikan kat kau. Pasal puaka rumah Mak Semah.' kata Udin.

Air muka Udin berubah. Peluh-peluh jantan terpancul semula di dahi yang berkerut itu. Rokok Pall Mall nya itu disedut dalam-dalam.

Mokhtar yang dari tadi khusyuk menggentel teros berhenti. Matanya memandang tajam ke arah Udin Tepok. Kerut di dahi kelihatan. Beliau bingkas bangun dan membawa masuk ke dapur bekas kuih siput sedut yang dibuatnya separuh jalan itu.

'Mana kau dengar semua ni ha setan? Kau jangan main-main Din. Mak Semah kan dah lama meninggal. Tak baik buat fitnah.'

Kata Mokhtar dengan nada yang agak gelabah dan penuh persoalan sambil mencapai towel yang disidainya di pintu dapur.

'Aku nampak sendiri Mokhtar. Malam tadi lepas balik dari anta adik aku ngaji. Aku ngade-ngade ikut jalan dalam tembus kebun getah Pak Usin tu. Malam semalam jugaklah dengan mata aku sendiri aku nampak ada lembaga tengah bertenggek kat umah Mak Semah.' jawap Udin Tepok.

Muka Udin teros pucat. Rokok ditangannya itu dicampak jauh ke longkang. Tangan yang dari tadi menggaru-garu ketuat dikaki teros menyinggah ke dahi. Udin melurut-lurut dahinya seperti memikirkan sesuatu.

'Okay tak yah sembang banyak, malam ni kite dua pergi sendiri kat rumah Mak Semah tu. Ko siap-siap kat umah dulu. Nanti malam aku pergi umah kau.'

Bidas Mokhtar dengan yakin dan saksama sambil menyarungkan selipar Croc nya itu.

'Eh kau ni nak pegi mana lak Mokhtar?' tanya Udin kebingungan.

'Aku nak berak jap.' jawap Mokhtar ringkas.

'Celaka!' jawap Udin sambil menyepak bangku yang beliau duduk tadi dan terus berlalu pergi.

********************

Azan Isyak kedengaran disekitar Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, Melaka. Kelunakan suara Haji Sameon melaungkan azan cukup sempurna sebutan dan tajwidnya. Kadang-kadang terdengar bunyi-bunyi unggas dan cengkerik menggamitkan lagi malam itu.

Mokhtar yang dari mengorek telinga bingkas bangun dan mencapai baju T Metalica-nya yang berselerak di dalam bilik. Mokhtar terus ke muka pintu hadapan sambil mencari-cari kelibat selipar Croc-nya itu.

'Kau nak ke mana tu Mokhtar malam-malam ni? Ape pulak projek ko kali ni?' kata Hajah Esah, ibu kepada Mokhtar.

'Nak gi semayang kat umah Udin jap.' jawap Mokhtar ringkas dan padat.

Hajah Esah hanya menggelengkan kepala kerana dia tahu yang anaknya itu kaki kencing. Hajah Esah teros kebilik menyarungkan telekungnya.

Mokhtar terus mencapai motor Yamaha Sukan (Sport) dibawah rumah. Raut wajah Mokhtar cukup serius kerana dia tahu malam ini dia ada misi yang penting antara hidup dan mati. Kadang-kadang kedengaran bunyi kucing bertelingkah tapi Mokhtar tetap tak menghiraukannya.

Mokhtar memecut laju motornya itu pergi ke rumah Udin.

********************

'Assalamualaikum...ooo assalamualaikum...Udin.' sentak Mokhtar betul-betul dihadapan rumah Udin Tepok.

Kelopak pintu usang itu terbuka luas. Terlihat susuk tubuh kering Udin Tepok keluar sambil membetul-betulkan kopiah yang hinggap dikepalanya. Berbekalkan lampu picit bapanya, beliau melangkah yakin ke arah Mokhtar.

'Ko mimpi ape pakai kopiah bagai. Bukannye kau semayang pon.' tegur Mokhtar sambil matanya memandang kopiah Udin.

'Inilah namanya meningkatkan tahap keyakinan diri.' jawap Udin Tepok disulami senyum sinisnya.

'Suka ati kau la labu. Tapi opah aku ade pesan barangsiapa yang dirinya tak suci, senang je kene sampuk hantu. Dah jom gerak.' tegur Mokhtar lagi.

Raut wajah Udin Tepok terus berubah bila mendengar kata-kata Mokhtar. Udin menyinggah punggungnya keatas motor.

'Ko suci kan Din? Dah mandi wajib kan?' tanya Mokhtar untuk kepastian.

'Err..dah...dah...jom jalan.' jawap Udin penuh kepalsuan.

Mokhtar terus memecut motornya itu sesudah Udin berkata-kata. Misi mereka adalah pergi menyinggah ke rumah arwah Mak Semah dihujung kampung yang sudah hampir 2 tahun tak berpenghuni. 

********************

Perjalanan kerumah Mak Semah mengambil masa lebih kurang 10 minit kerana terpaksa meredah lopak-lopak kebun getah Pak Usin. Rumah Mak Semah betul-betul di penghujung jalan.

Mokhtar masih nekad hendak ke rumah Mak Semah. Matanya tepat memandang jalan yang berlopak-lopak sambil disuluhi oleh lampu motornya. Udin yang dari tadi senyap dibelakang terkumat-kamit membaca sesuatu.

'Nape macam jauh je ni Mokhtar?' Udin kebingungan.

'Senyapla...kang aku tinggalkan kau kat sini kang.' nada suara Mokhtar berubah kerana memikirkan sesuatu.

Tiba-tiba Mokhtar memberhentikan motornya. Matanya beralih kecelah-celah pokok getah. Ada cahaya api dicelah-celah pokok tidak jauh dari situ. Mokhtar terus memastikan yang cahaya itu datangnya dari sebuah rumah.

'Din. Kau nampak tak ape yang aku nampak? Tu ade rumah kan kat situ.' Mokhtar menudingkan jari kearah rumah tersebut.

'Mokhtar. Jom balik jom. Aku lupa yang malam ni ade cerita Gerak Khas episod akhir.' Udin memberi alasan kepada Mokhtar.

'Lahanat kau! Jom kite gi sana. Tah-tah tu kot rumah Mak Semah yang ko cakapkan tu.' Mokhtar mematikan enjin. Lalu turun dari motor. Mokhtar menyambar lampu picit Udin dan mereka pergi ke arah rumah tersebut.

'Mokhtar. Aku nak terkencing.'

'Senyaplah. Tahan dulu. Kang aku cecah muka kau dengan lampu picit ni ha.' Mokhtar memberi amaran dalam nada halus.

'Kau bacelah Al-fatihah banyak-banyak kalau dah takut sangat.' Mokhtar memberi cadangan.

'Mokhtar. Aku Iqra 1 pon tak lepas lagi.' suara Udin tersangkut-sangkut kerana terlalu takut.

Mokhtar menyiku perut Udin Tepok yang dari tadi berselindung di belakang beliau.

'Sekali lagi kau bising, aku cecah ko betol-betol.' Amaran terakhir dari Mokhtar.

Mereka sudah berada betul-betul di depan rumah tersebut. Cahaya bulan terang menyuluh kearah rumah kecil tersebut. Laman rumah sungguh indah dihiasi dengan pokok-pokok bunga.

Mokhtar memberanikan diri ingin membuka pintu tersebut. Tiba-tiba.

'Huh ! Huh ! Huh !' dengusan garau menghinggap ke telinga Mokhtar dan Udin.

'Ahhhhhhhh !!' ngilaian seram terus menyusuli selepas dengusan tersebut.

Mokhtar dan Udin Tepok terus rebah ke bumi.

********************

Mokhtar memisat-misat matanya. Dibukakannya kelopak mata perlahan-lahan. Cahaya lampu kalimantang menyilau terang. Mokhtar mengalih pandangan ke sekeliling. Dilihat perabot-perabot rumah tersusun rapi. Dia cukup kenal susunan perabot itu. Baru beliau sedar yang dia berada di biliknya. 

Mokhtar bingkas bangun dan meluru keluar ke ruang tamu. Dilihatnya Haji Derus, Hajah Esah, Pak Usin dan isterinya Mak Melah sedang berborak mesra.

Dilihatnya kelibat Udin sedang di urut oleh Pak Usin.

'Ha, dah sodar malaun sorang laie ni.' kata Pak Usin loghat minang sambil memicit belikat Udin Tepok.

'Tu la. Merayau lagi masuk hutan sesat barat lagi. Menyusahkan orang betul.' Haji Derus bersuara.

Mokhtar tak bersuara dan terus duduk di sebelah Udin yang sedang diurut Pak Usin.

'Apa yang jadi ni Din?' Mokhtar kebingungan.

'Biarlah den torangkan segalonya la yo Aji.' Pak Usin bersuara pula.

'Tadi, den dongan omaknyo nyinggah di pondok kobun gotah tu. Tibo-tibo den todongar bunyik bondo jatuh kek dopan pondok tu. Tokojut den nengok malaun duo ekor ni tobaring kek dopan pintu. Tu yang den bawak kemari tu.'

'Itu pondok Pak Usin ke?' Mokhtar mencelah.

'Iyola. Takkan ponduk bapak ekau lak. Eh, maap yo Aji. Tolobih sudah.' bidas Pak Usin.

'Kamu berdua sebenarnya wat ape kat kebun getah Pak Usin tu?' Haji Derus terus memotong.

'Kami sebenarnya nak pegi rumah arwah Mak Semah hujung kampung tu. Ni ha Udin cakap dia jumpe puaka kat umah tu.' jawap Mokhtar sambil mengalih pandangan ke UDin yang sedap diurut.

'Puako kopalo hotak ekau. Umah Mak Somah tu dah lama roboh taw tak.'

Pak Usin berkata-kata sambil mengurut belakang tengkuk Udin. Dituangkan minyak merah panas ke belakang Udin.

Mokhtar dan Udin terus tersentak dengar kata-kata Pak Usin.

'Dah lamo dah umah tu roboh. Ado la dalam duo tigo bulan yang lopeh.'

Raut wajah Udin terus berubah. Kerut-kerut didahi terus menjelma. Sah beliau sedang memikirkan kelibat ape yang beliau nampak semalam malam.

'Tapi Pak Usin. Kami berdua sebenarnya terdengar bunyi orang berdengus pastu ade bunyi mengilai. Tu yang kami pengsan tu.'

Bulu roma Mokhtar meremang sejurus mengingatkan kembali kejadian tadi.

'Eh ! Ekau dongar ko? Hehehe biasola Aji, malam jumaat. Kito tunaikan apo yang patut ditunaikan yo omaknyo'

Pak Usin tersenyum lebar sambil mengenyit mata manja ke arah isterinya.

Mokhtar dan Udin terus pengsan balik.

'Celaka'





p/s: Sila bagi feedback. Ok ke tak ok? Ke patot wat seram betul-betul? haha

7 comments:

Anonymous said...

gua saspek lu boleh up lagi cerita yang baru...cayalah..

besaqnya kolumpo!!

velasrizal said...

wat je seram btol2 bru lain dr yg lain..

Kenali Sifat Aneh Wanita

En. Reen said...

Cello: baek la sifu..ekekeke
slurrrpppp~~~~

velarizal: ekekkeke tu la..macam good idea gak tu..ehehehe tq

Cik Bee~! said...

cte antu ni lawak gler la...plg2x lawak iqra 1 pun xlepas..hahahha..yg xtahan yg last tuh...

'pak usin tersenyum lebar sambil mngenyit mata manja ke arah isterinya'....hahahhah.sengal.....

try la wat cte vampire lak..gud job..hahahha..:)

En. Reen said...

CB: wakakakaka diriku ini dah tok leh berjauhan dgn kelakaran..ekekeke nak wat cite serius la plak...
muahahaha

baem said...

beremosi toi kisah kali ni... peluh jantan tak henti-henti menitik ke bumi..
wakakaka~~

En. Reen said...

Baem: kuat berpeluh tu...ekekekeke

Related Posts with Thumbnails